Bukti keterangan keadaan

Bukti keterangan keadaan

Bolehkah seseorang didakwa di mahkamah jika tiada siapa yang melihatnya melakukan jenayah?
Mark Twain pernah berkata, “Tiada apa yang merosakkan sebuah cerita yang baik selain kemunculan seorang saksi mata.”

Sekiranya tiada saksi mata dan pihak polis juga tidak dapat memperoleh bukti langsung lain seperti rakaman CCTV, adalah sukar bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan sesuatu kes jenayah. Bukti langsung mungkin tidak wujud setiap kali seseorang melakukan jenayah. Jika terdapat peraturan yang menyatakan bahawa polis hanya boleh menggunakan bukti langsung, maka kebanyakan jenayah tidak akan dapat didakwa.

Atas sebab yang jelas, penjenayah lazimnya melakukan jenayah ketika tiada siapa yang memerhati. CCTV pula mungkin gagal merakam jenayah yang dilakukan dalam keadaan gelap atau apabila pandangannya terhalang. Walaupun terdapat saksi, mereka mungkin tidak mampu memberikan keterangan di mahkamah.

Pendakwaan kes jenayah akan menjadi mustahil. Jika keadaan ini berlaku terlalu kerap, maka tiada siapa yang boleh didakwa di mahkamah. Penjenayah akan terlepas bebas dan terus melakukan jenayah.

Namun begitu, undang-undang membenarkan pihak polis mengumpulkan jenis bukti sokongan yang lain. Bukti ini dikenali sebagai bukti keadaan (circumstantial evidence). Akta Keterangan 1950 (undang-undang yang mengawal pembuktian di mahkamah) membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan bukti sokongan lain bagi menyokong kes mereka.

Jenis bukti sokongan ini dipanggil bukti keadaan.

Oleh itu, seseorang masih boleh didakwa di mahkamah walaupun tiada bukti langsung.


Bukti keadaan dalam kes jenayah

Kajian kes

Sebagai contoh, PanjangTangan (watak rekaan) dituduh mencuri sebuah Dompet mahal dari sebuah pasar raya. Tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut. Pengawal keselamatan telah tahan PanjangTangan di pintu keluar selepas pengimbas keselamatan berbunyi. PanjangTangan memberitahu pengawal bahawa pengimbas tersebut rosak dan mengadu bahawa dia diganggu tanpa sebab.

Pengawal keselamatan meminta PanjangTangan mengosongkan poketnya. Mereka jumpa sebuah Dompet yang masih ada tanda harga dan tag keselamatan pasar raya. PanjangTangan kelihatan terkejut dan tidak dapat mengemukakan sebarang resit pembelian bagi Dompet tersebut. Apabila pengurus pasar raya menonton rakaman CCTV, beliau mendapati bahagian rak Dompet terhalang oleh papan iklan. Oleh itu, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada PanjangTangan benar-benar mengambil Dompet tersebut. PanjangTangan menafikan tuduhan dan mendakwa bahawa beliau telah diperangkap.

Kemudiannya, PanjangTangan didakwa di mahkamah atas kesalahan mencuri. Berdasarkan fakta di atas, pihak pendakwaan mungkin ingin mengemukakan bukti berikut di mahkamah:

Bukti 1: Dompet yang ditemui pada PanjangTangan masih mempunyai tanda harga dan tag keselamatan.

Bukti 2: Pengawal keselamatan yang mendengar bunyi alarm dan menahan PanjangTangan daripada meninggalkan premis.

Bukti-bukti ini sahaja mungkin tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa PanjangTangan telah curi. Tiada siapa yang melihat beliau mengambil Dompet tersebut dan memasukkannya ke dalam poket. Ia juga tidak muktamad kerana tiada rakaman CCTV!


Mahkamah akan menilai kekuatan bukti dalam kes jenayah

Semasa perbicaraan, hakim akan menilai bukti-bukti tersebut. Pertama, sama ada Bukti 1 dan Bukti 2 adalah relevan kepada kes ini? (Faktor “Mengapa”) Jika ya, bagaimana Bukti 1 dan Bukti 2 dibuktikan di mahkamah? (Faktor “Bagaimana”)

Dalam mencapai sesuatu keputusan, mahkamah mesti berpuas hati bahawa PanjangTangan telah mengambil Dompet tersebut. Sepanjang perbicaraan, PanjangTangan juga berpeluang untuk mencabar bukti keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.


Tertuduh menjelaskan bukti

Walaupun pihak pendakwaan dibenarkan mengemukakan bukti keadaan dalam kes jenayah, kes yang bergantung sepenuhnya kepada bukti keadaan mempunyai kelemahannya. Pertama, bukti keadaan, seperti namanya, bergantung kepada keadaan sekeliling. Jika keadaan-keadaan tersebut dapat dijelaskan, maka kes jenayah itu hanya berasaskan kebetulan semata-mata. Tiada apa yang benar-benar menunjukkan bahawa PanjangTangan bersalah melakukan kecurian tersebut.


Integriti bukti

Kedua, terdapat pelbagai faktor luaran lain yang terlibat dalam proses jenayah. Faktor-faktor ini turut memberi kesan kepada kualiti bukti, yang penting untuk meyakinkan mahkamah. Bermula dari saat bukti dikumpulkan sehinggalah saat ia dikemukakan di mahkamah.

Pihak pendakwaan mesti memastikan tiada sebarang gangguan dalam rantaian jagaan (chain of custody) bukti tersebut. Mereka tidak boleh kehilangan jejak terhadap lokasi dan kawalan bukti. Jika terdapat gangguan, ia boleh memberi kesan serius terhadap integriti bukti. Kesilapan kecil, seperti mengemukakan Dompet yang salah di mahkamah, boleh membawa padah besar kepada pihak pendakwaan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.


Bukti mesti menunjukkan kesalahan

Ketiga, bukti yang digunakan oleh pihak pendakwaan mestilah menunjukkan kesalahan PanjangTangan. Dalam kes Sunny Ang v PP [1966] 2 MLJ 195, Ketua Hakim Tan Ah Tah menyatakan:

“kesan daripada keseluruhan bukti ini membawa anda secara tidak dapat dielakkan dan tanpa keraguan kepada satu kesimpulan sahaja: tertuduhlah yang dengan sengaja menyebabkan kematian [jenayah] tersebut.”

Dengan menilai keseluruhan bukti pihak pendakwaan, mahkamah mestilah yakin bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut.


Menentukan kesalahan PanjangTangan berdasarkan bukti keadaan

Jika mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya, PanjangTangan akan dibebaskan. Beliau kini seorang yang bebas. Namun, jika kes pendakwaan berjaya dibuktikan, PanjangTangan akan dipanggil untuk membela diri. PanjangTangan perlu menjelaskan versinya, jika beliau berhasrat berbuat demikian.

Pada peringkat ini, PanjangTangan mempunyai tiga pilihan. Beliau boleh memberi keterangan bersumpah, membaca pernyataan pembelaannya dari kandang tertuduh, atau memilih untuk berdiam diri. Jika beliau membaca pernyataan dari kandang tertuduh, beliau tidak perlu melakukan apa-apa lagi dan pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangannya.

Walau bagaimanapun, pernyataan yang dibaca dari kandang tertuduh mempunyai nilai pembuktian yang lebih rendah berbanding keterangan bersumpah. Jika PanjangTangan memilih untuk memberi keterangan bersumpah, beliau akan mengemukakan versinya dan pihak pendakwaan akan diberi peluang untuk menyoal balas bagi mencabar kebenaran keterangannya. Proses soal balas ini terpakai kepada semua saksi yang memberi keterangan di mahkamah. Jika PanjangTangan memilih untuk berdiam diri, mahkamah akan meneruskan untuk mensabitkannya bersalah.


Penghujung kes jenayah

Pada akhir perbicaraan, jika mahkamah mendapati bahawa kes pendakwaan kekal tidak dicabar dan pembelaan PanjangTangan juga meragukan, PanjangTangan boleh didapati bersalah atas kesalahan mencuri. Mahkamah kemudiannya boleh mensabitkan PanjangTangan.

Beban pembuktian ke atas pihak pendakwaan kekal sama: membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Kes jenayah yang bergantung sebahagian atau sepenuhnya kepada bukti keadaan juga tertakluk kepada standard pembuktian yang sama.


Keadilan ditegakkan

Peraturan yang terlalu ketat yang menghendaki semua pendakwaan hanya berasaskan bukti langsung adalah tidak praktikal. Ia boleh menyebabkan penguatkuasaan undang-undang menjadi tidak berkesan dan seterusnya menghakis keyakinan terhadap sistem keadilan jenayah. Masyarakat juga mengharapkan semua pelaku jenayah didakwa dengan segera. Salah satu cara untuk memastikan akses kepada keadilan ialah dengan membenarkan penggunaan bukti keadaan.


Teka-teki minda

Bukti langsung sering dibandingkan dengan bukti keadaan sebagai dua jenis bukti yang berbeza.

Namun, bukti keadaan hanya boleh dibuktikan melalui bukti langsung, dan bukan sebaliknya.